Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Kelebihan dan Amalan pada Bulan Robiul Akhir

Rabiul Akhir (ربيع الآخر) adalah bulan keempat mengikut Taqwim Hijrah (kalendar Islam). Pada zaman dahulu, bulan-bulan seperti ‘Rabi-awal’ dan ‘Rabi-thani’ menandakan “musim bunga”, yang merujuk kepada musim pertumbuhan tanaman bijirin di Timur Tengah.

Kedua-dua bulan ‘Rabi’ tersebut menandakan “masa memakan rumput” binatang ternakan apabila banyak makanan dari tumbuh-tumbuhan telah muncul. Jika ‘Rabiul Awal’ ertinya bermulanya musim bunga bagi tumbuh-tumbuhan, ‘Rabiul Akhir’ pula bererti musim bunga yang terakhir juga dipanggil dengan nama ‘Rabiul Thani’ iaitu musim bunga kedua.

‘Rabi’ juga bermaksud gugur atau menetap dan ‘Akhir’ ertinya penghabisan. Maka Rabiul Akhir juga membawa pengertian musim gugur atau menetap kali penghabisan atau yang terakhir. Bulan ini juga dinamakan ‘Rabiul Thani’  (ربيع الثاني) yang bererti gugur atau menetap kali yang ke-dua.


Ketika itu musim gugur (rabi`) ini berlaku dua bulan berturut-turut iaitu dari penghujung bulan Oktober sehingga lewat bulan Disember dan pada zaman Jahiliah, 2000 tahun dahulu. Semua golongan lelaki yang meninggalkan rumah, akan terus menetap pada bulan kedua atau saat-saat akhir di rumah dan kawasan kaum keluarga masing-masing.

Bulan ini yang merupakan tanaman dan tumbuhan telah sampai ke penghujung dan kemuncak bagi tanam-tanaman mengeluarkan bunga. Pada waktu itu biasanya tanaman-tanaman di Tanah Arab akan mengalami peringkat akhir berbunga seiring dengan musim luruh dan sebelum tibanya musim sejuk.

Gelaran bagi setiap nama bulan pada asalnya sudah lama wujud sebelum kedatangan Nabi Muhammad iaitu sejak zaman Ka’ab bin Murrah, datuk kelima Rasulullah lagi dan Baginda terus menggunakannya oleh kerana nama-nama bulan tersebut tidak memberi makna yang buruk. Maka selepas kewafatan Rasulullah , para sahabat terus mengekalkan nama tersebut walaupun sebenarnya nama-nama bulan seperti Rabiul Akhir itu sendiri tidak lagi berkaitan dengan peredaran musim bunga atau buah kepada tanaman.

Cuaca, iklim, suhu dan musim adalah berkait rapat dengan peredaran matahari dan bintang-bintang lain sedangkan takwim Islam Qamari adalah berlandaskan kepada peredaran bulan mengelilingi bumi.

Kesimpulannya, Rabiul Akhir atau Rabiul Thani yang bermakna musim bunga yang kedua dan terakhir tidak semestinya dikaitkan dengan keadaan musim bunga sebenarnya, kerana ia hanya sekadar nama bagi bulan itu sendiri.

Firman Allah سبحانه وتعالى :
وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ آيَتَيْنِۖ فَمَحَوْنَا آيَةَ اللَّيْلِ وَجَعَلْنَا آيَةَ النَّهَارِ مُبْصِرَةً لِّتَبْتَغُوا فَضْلًا مِّن رَّبِّكُمْ وَلِتَعْلَمُوا عَدَدَ السِّنِينَ وَالْحِسَابَۚ وَكُلَّ شَيْءٍ فَصَّلْنَاهُ تَفْصِيلًا ﴿١٢﴾
 “Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami), Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang benderang, supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari); Dan (ingatlah tanda seruan) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah terangkan dia satu persatu (di dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”  (Surah al-Israa’; ayat 12)
.
.

Amalan Dan Fadhilat Bulan Rabiul Awal


Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat di bulan Rabiul Akhir adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.

Firman Allah سبحانه وتعالى:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا ﴿٣٠﴾
“Sesunggunya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan dengan baik (berusaha memperbaiki amalnya).”(Surah Al-Kahfi: Ayat 30)

Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.

Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tidak lakukan atau tidak berkesempatan melakukannya. Maka pada bulan inilah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini.
.
Di antara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan dan disarankan oleh Rasulullah sepanjang tahun adalah :
.
1)      Solat berjemaah, terutama solat fardhu di masjid atau surau setempat.
2)      Membaca dan berusaha memahami Al-Qur’an
3)      Menghayati dan memperbanyakkan :
a)      Zikir – tahlil, tahmid dan takbir.
b)      Istighfar  dan taubat
c)      Selawat ke atas Rasulullah .
4)      Qiamullail iaitu bangkit beribadat di waktu malam.
5)      Mendirikan solat-solat sunat seperti:
a)      Solat Sunat Fajar
b)      Solat Sunat Dhuha
c)      Solat Sunat Rawatib
e)      Solat Sunat Witir
6)      Memperbanyak dan membiasakan bersedekah
7)      Berpuasa sunat, terutamanya  pada hari-hari Isnin dan Khamis
8)      Menghadiri majlis ilmu seperti ceramah, kuliah agama dan sebagainya
9)      Menjaga pancaindera dan anggota badan daripada melakukan kemaksiatan.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.” (Surah Al-Bayyinah: Ayat 7)
.
Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu semua berbuat sesuai dengan kekuatan kamu sahaja. Sesungguhnya Allah itu tidak jemu (memberi pahala) sehingga kamu semua bosan (melaksanakan amalan itu). Adalah cara melakukan agama yang paling dicintai oleh Allah itu ialah apa-apa yang dikekalkan melakukannya oleh orang itu (tidak perlu banyak asalkan berterusan).” (Muttafaq ‘alaih)
.
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Posting Komentar untuk "Kelebihan dan Amalan pada Bulan Robiul Akhir"

close